• Isnin, 18 April 2011

    Berdengkur boleh membawa MAUT

    Orang awam mendefinisikan berdengkur sebagai bunyi pernafasan yang kuat dan bising ketika tidur.  Dengkur sebenarnya terjadi akibat halangan salur udara  yang menghasilkan getaran udara yang cuba menembusi halangan pada salur pernafasan ketika menarik nafas. Berdengkur bukanlah tanda seseorang itu tidur nyenyak. Bunyi yang dihasilkan semasa dengkuran hanya menunjukkan terdapat penyumbatan separa di dalam salur pernafasan, iaitu di kawasan hidung dan belakang tekak.
    Sedarkah kita bahawa berdengkur adalah satu penyakit dan boleh membawa maut. 
      
    Bentuk dan Peringkat Dengkur
    1. Dengkur tabiat atau dengkur lembut dengan bunyi perlahan seperti bunyi dekus kucing, tiada halangan laluan udara. Dengkur tabiat tanpa apnea (tiada nafas atau nafas terhenti) tidur, lazimnya berpunca daripada rasa penat. Ia merupakan dengkur biasa dan biasanya tidak berbahaya dan tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga). Berdengkur bentuk ini boleh dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama merupakan berdengkur yang ringan dengan empat atau lima kali dengkuran kemudiannya berhenti dan seterusnya diulangi lagi. Peringkat kedua merupakan berdengkur yang sederhana iaitu berdengkur berterusan selama 10 hingga 15 minit dan bunyinya yang sama rata.
    2. Dengkur kuat adalah dengkur halangan saluran udara iaitu dengkur kuat akibat laluan udara tersekat yang menyukarkan udara masuk ke paru-paru dan sangat berbahaya. Ia merupakan dengkur peringkat ketiga. Ia juga dikenali sebagai dengkur dengan masalah apnea tidur (Obstructive Sleep Apnea). Perkataan apnea bermaksud ‘tiada nafas’ atau nafas terhenti. Apnea tidur pula dikategorikan kepada ringan, sederhana dan teruk. Individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang.
     Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, ringan (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).

    Sebab-sebab dan Faktor Risiko
    1. Berat badan berlebihan menyebabkan tisu di sekitar tekak dipenuhi tisu lemak yang akan menyebabkan salur udara mengecil.
    2. Faktor genetik - diwarisi daripada ibu bapa masalah struktur salur pernafasan.
    3. Pengambilan ubat penenang, pelali atau ubat tidur yang menyebabkan tisu tertentu mengendur dan menghalang laluan udara.
    4. Saluran pernafasan melalui hidung yang tersekat disebabkan alahan (allergic), demam selesema, resdung, tulang bengkok (deviated nasal septum), resdung (sinusitis), kanser hidung dan tekak serta masalah tulang muka kecil dan sebagainya juga boleh menyebabkan berlakunya getaran dengkur.
    5. Tabiat tidur secara terlentang juga mungkin memburukkan lagi halangan saluran udara menyebabkan bunyi dengkur lebih kuat.
    6. Pengambilan alkohol juga mendorong tisu-tisu di sekitar tekak mengendur ke dalam sementara tabiat merokok pula menyebabkan kerosakan tisu sehingga menjadi kendur dan menghalang laluan udara.
    7. Peningkatan usia terutamanya usia yang melebihi 45 tahun yang menyebabkan otot-otot tekak semakin lemah, mengendur ke dalam dan membentuk halangan pada salur pernafasan.
    8. Ukur lilit leher lebih daripada normal memainkan peranan daripada indeks jisim badan di dalam terbentuknya halangan salur pernafasan, dengkur dan OSA. Ukur lilit leher yang melebihi 17 inci dikaitkan dengan peningkatan risiko halangan salur udara kerana longgokan lemak di leher mungkin menekan saluran pernafasan.
    9. Struktur tulang muka turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas dan bawah yang tidak selari, rahang bawah yang lebih pendek atau lebih kecil (micrognathia) atau mempunyai lidah yang besar (macroglossia) sehingga menyempitkan saluran pernafasan.
    10. Masalah tonsil, masalah adenoid yang biasanya berlaku pada kanak-kanak yang menyempitkan saluran pernafasan.
    11. Leher yang panjang iaitu 43 cm untuk lelaki dan 41 cm untuk wanita.
    12. Lelangit yang terlalu lembut merupakan punca masalah dengkur yang kebanyakan berlaku di kalangan orang dewasa. 90 peratus masyarakat Malaysia yang berdengkur di sebabkan faktor ini.
    13. Anak tekak di lelangit lebih panjang daripada biasa sehingga mencecah lidah. Masalah ini boleh dikesan ketika mereka yang menjalani pemeriksaan fizikal.
    14. Mereka yang mempunyai sindrom kraniofasial juga berisiko untuk mendapat masalah ini.
    Gejala-gejala
    Gejala-gejala bagi dengkur tabiat atau dengkur lembut/Dengkur tabiat tanpa apnea tidur
    Berdengkur bentuk ini biasanya berlaku sekali sekala dan bukannya setiap malam disebabkan terlalu letih di siang hari yang berlaku apabila otot-otot di bahagian leher kepala dan mulut mengalami kerehatan yang berlebihan.
    Gejala-gejala dengkur kuat/Dengkur dengan masalah apnea tidur (Obstructive Sleep Apnea).
    Penghidap OSA akan mengalami nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400 kali setiap malam. Pesakit sebenarnya tidak dapat tidur dengan nyenyak. Tidur menjadi terganggu sepanjang malam kerana paras oksigen yang tidak cukup untuk sampai ke otak. Ini menyebabkan otak merangsang pesakit supaya bangun dengan segera bagi mengelakkan berlakunya kematian. Pesakit akan terus berjaga-jaga untuk mengambil nafas dan ini mengganggu tidur yang lena.

    Penghidap OSA juga mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak dapat bernafas. Mereka juga selalunya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

    Bunyi dengkur ini akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan telah terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup). Halangan pada bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain. Kekurangan oksigen, terutamanya ke otak bukan sahaja boleh membawa kepada masalah kesihatan malahan boleh membawa maut jika dibiarkan berterusan.

    Penghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, berasa sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.
    Rasa mengantuk yang amat sangat ketika memandu pula menjadi satu kebiasaan akibat tidur yang terganggu, sehinggakan pernah tertidur untuk beberapa saat di dalam kereta dan boleh menyebabkan kemalangan.
    Merasa seperti terapung selepas terjaga dari tidur. Merasa tekanan pada bebola mata dan amat letih selepas bangun tidur.

    Komplikasi dan Kesan daripada OSA
    1. Menjejaskan kualiti hidup pasangan suami dan isteri.
    2. Masalah hypopnea adalah satu lagi masalah berkait rapat dengan apnea iaitu keadaan di mana terdapat penurunan sehingga 50 peratus jumlah udara yang masuk ke paru-paru dalam setiap nafas. Bekalan oksigen di dalam darah juga semakin berkurangan bukan sahaja akibat nafas terhenti (apnea) malahan akibat kurangnya jumlah udara yang masuk ke paru-paru setiap kali menarik nafas (hypopnea).
    3. Kekeringan mulut, pening dan rasa tidur yang tidak puas.
    4. Emosi terganggu akibat keletihan daripada tidur tidak nyenyak menyebabkan penghidap OSA kelihatan murung, enggan berkomunikasi dan cepat marah.
    5. Tindak balas dan fungsi kognitif penghidap akan menjadi perlahan dan terjejas. Ini meningkatkan risiko bagi mereka yang mengendalikan mesin-mesin berat atau berbahaya.
    6. Rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang disebabkan kekurangan oksigen ketika tidur.
    7. Tertidur ketika sedang membaca, berbual, menonton televisyen, duduk, menaiki kenderaan dan juga ketika memandu. Kajian juga menunjukkan penghidap apnea mempunyai risko enam kali ganda lebih tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.
    8. Apnea berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan tahap karbon dioksida dan perubahan pH darah sehingga berlakunya asidosis metabolik.
    9. OSA yang menyebabkan tidur tidak nyenyak untuk lebih tiga malam berturut-turut akan meningkatkan risiko diabetes secara mendadak. Keadaan ini berpunca daripada keupayaan badan memproses glukosa (gula) di dalam darah yang didapati jatuh mendadak sejajar dengan kadar tidur nyenyak tidak diperoleh.
    10. Selain itu penurunan oksigen di dalam darah juga mungkin menyebabkan berlakunya sawan walaupun jika tidak pernah mengalami masalah epilepsi.
    11. OSA di kalangan kanak-kanak berdengkur jauh lebih berbahaya dan meninggalkan kesan lebih teruk kepada kesihatan dan pertumbuhan mereka. Kekurangan oksigen ketika membesar (sewaktu tidur) juga akan membantutkan perkembangan otak menyebabkan masalah pembelajaran dan kognitif diri.
    12. Kekurangan oksigen ke otak turut meningkatkan risiko penyakit Alzheimer apabila usia penghidap OSA semakin meningkat.
    13. Terdapat juga teori berlakunya Sindrom Kematian Mengejut Bayi berkaitan dengan apnea tidur.
    14. Sebahagian daripada individu yang mengalami OSA mengalami peningkatan tekanan darah yang seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan juga strok.
    15. Komplikasi paling teruk OSA adalah kegagalan fungsi jantung. Bagi golongan dewasa dengan masalah jantung, kekurangan oksigen boleh membawa kepada masalah angina, arithmia dan serangan jantung. Dalam dengkuran yang teruk, paras oksigen di dalam badan menjadi berkurangan. Jika ini berpanjangan, ia akan menyebabkan badan melepaskan bahan-bahan kimia yang akan meningkatkan tekanan darah. Tekanan darah ini akan menyebabkan jantung bekerja lebih keras dan dalam jangka masa panjang menyebabkan masalah jantung pula.
    16. Oksigen yang tidak mencukupi juga menyebabkan sel darah merah menjadi bertambah (polycytaemia) yang boleh meningkatkan risiko strok.
    17. Lemah daya ingatan, hilang tumpuan, stres, mati pucuk dan jangka hayat yang lebih pendek.
    Penyiasatan/Investigation yang Akan dilakukan Doktor
    Seseorang yang mengalami OSA akan didiagnosis dengan pemeriksaan fizikal, sejarah serta soal jawab mengenai tidur atau simptom yang berlaku semasa siang dan masalah tidur.
    Selalunya pesakit OSA akan diperiksa sekiranya mempunyai simptom seperti tidur yang letih, darah tinggi, mempunyai rahang yang kecil dan menghidap diabetes.
    OSA boleh dengan mudah didiagnosis oleh doktor yang menilai aduan dan simptom pesakit. Jika gangguan tidur yang disyaki, pesakit akan dirujuk kepada kajian diagnostik tidur dikenali sebagai Polysomnogram atau PSG bagi mengesahkan bentuk dan tahap serius gangguan tidur, serta rawatan yang sewajarnya diambil.

    Rawatan
    Rawatan Selain Pembedahan (Non-surgical Treatment)
    1. Mengubah cara hidup lebih sihat melalui pemakanan seimbang dan senaman juga dapat membantu masalah OSA, terutamanya bagi kanak-kanak.
    2. Tidak tidur menelentang sebaliknya tidur di posisi sisi untuk mengurangkan risiko saluran pernafasan disekat oleh lidah atau lelangit lembut yang jatuh ke belakang semasa tidur nyenyak.
    3. Menurunkan berat badan bagi pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan.
    4. Elakkan pengambilan alkohol dan merokok serta dapatkan rawatan segera untuk alahan, demam selesema atau resdung supaya tidak membawa kepada OSA.
    5. Penyembur hidung dan kepingan plastik hidung.
    6. Alat mudah alih makmal tidur dikenali sebagai Sleep Doc Porti untuk memantau pernafasan, kedudukan berbaring, tahap oksigen darah serta pergerakan dada dan abdomen ketika tidur.
    7. SomnoGuard. SomnoGuard merupakan sejenia alat menggerakkan mandibular (MAD) iaitu sekumpulan alat-alat untuk menggerakkan tulang rahang bawah ke depan supaya selari dengan rahang atas. Ini akan menggerakkan tisu dan lidah yang sering menghalang salur pernafasan ke depan dan membuka semula laluan udara ketika tidur. Alat bantuan seperti MAD sangat popular di Eropah kini sebagai rawatan alternatif untuk masalah OSA. MAD menjadi pilihan ramai berbanding cara rawatan lain berikutan reka bentuknya yang ringkas, berkesan, tidak memerlukan pembedahan dan jauh lebih murah daripada cara rawatan sedia ada untuk OSA. Alat terbaru MAD, SomnoGuard AP juga boleh digerakkan ke sisi bagi membolehkan pengguna berbaring di sisi atau bagi mereka yang mengeritkan gigi sewaktu tidur. Alat ini juga meninggalkan ruang di belakang lidah bagi membolehkan udara keluar masuk secara semula jadi dan tanpa paksaan sepanjang malam. SomnoGuard hadir dalam beberapa saiz termasuk kecil, sederhana dan besar mengikut saiz mulut pelanggan. Ia dimasukkan ke dalam mulut dan ia selepas diubah suai mengikut saiz mulut ia akan melekap terus di rahang. Cara penjagaan juga ringkas. Istimewanya, alat rawatan ini tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada pengguna. SomnoGuard dicipta menggunakan material yang fleksibel dan penjagaannya mudah. Hanya rendamkan ia dalam air mendidih, sejukkan dan masuk ke dalam mulut dengan betul dan tepat.
    Rawatan Melibatkan Pembedahan (Surgical Treatment)
    Jika perlu, doktor mungkin menyarankan agar pesakit menjalani pembedahan. Pembedahan bertujuan untuk membuang sebarang sebab-sebab dengkur yang menyebabkan penyempitan salur pernafasan di dalam hidung atau di bahagian farinks. Perlu diingatkan bahawa bukan semua pesakit akan memerlukan rawatan secara pembedahan.
    1. Pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan tonsil dan adenoid yang besar dan bermasalah.
    2. Suntikan skleroterapi, diathermy, ablasi frekuensi radio dan pembedahan pembuangan tisu dengan laser.
    3. Kes-kes pesakit mempunyai anak tekak yang panjang atau struktur tulang di bahagian muka yang memerlukan intervensi pembedahan.
    4. Pembetulan tulang hidung yang bengkok atau besar (deviated nasal septum or turbinate enlargement).
    5. Pembedahan uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) untuk membuang lebihan palet dan fariks mucosa (remowal of redundant palatal or pharyngeal mucosa together with trimming of the uvula).
    6. Membesarkan hypopharynx.
    7. Tracheostomy adalah usaha terakhir dan satu-satunya rawatan dengan 100 peratus kadar kejayaan.

    * Pasangan amat penting dalam memainkan peranan untuk mengenali penyakit ini, kerana pesakit biasanya tidak akan sedar apa yang berlaku semasa tidur. Pasangan boleh meneliti dengkuran pesakit untuk memastikan samada ia dengkuran biasa ataupun Apnea. Jika pasangan sentiasa terhenti penafasannya semasa berdengkur segera rujuk ke pakar yang berhampiran.

    Sumber:-http://cyberclinics.org/artikel-cyberclinics/bidang-telinga-hidung-dan-tekak-ent/108-dengkur-adakah-merbahaya-pilihan-rawatannya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Terima kasih atas komen yang diberikan :)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...